KESKEP telah didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan bergiat di bawah peraturan-peraturan Badan Kebajikan dan Sukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kuala Lumpur (KESKEP).
No. Pendaftaran : 2228 (SELANGOR)


Peraturan 1 - Nama dan Tempat Urusan

i. Badan ini dikenali dengan nama BADAN KEBAJIKAN DAN SUKAN KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN, KUALA LUMPUR atau dengan nama ringkasnya KESKEP.
ii. Tempat urusan KESKEP ialah d/a Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aras 4 & 5, Blok K, Pusat Bandar Damansara, 50782 Kuala Lumpur dan alamat surat-menyurat adalah sama seperti di atas atau tempat-tempat lain sebagaimana yang akan ditentukan oleh Jawatankuasa Eksekutif dari semasa ke semasa.
iii. Tempat urusan dan alamat surat-menyurat tidak boleh diubah tanpa kebenaran oleh Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

Peraturan 2 - Penaung
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah dilantik secara automatik menjadi Penaung. Seorang lagi orang ternama boleh dijemput untuk menjadi Penaung, tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Eksekutif.

Peraturan 3 - Panel Penasihat
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara dan Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara dilantik secara automatik menganggotai Panel Penasihat.

Peraturan 4 - Tujuan dan Matlamat
i. Menjalankan kegiatan-kegiatan sukan, kebajikan dan sosial untuk ahli-ahli.
ii. Memupuk semangat kekeluargaan (esprit de corps) dikalangan ahli.

Peraturan 5 - Keahlian
i. Terdapat empat (4) jenis keahlian iaitu Ahli Biasa, Ahli Bersekutu, Ahli Seumur Hidup dan Ahli Bergabung.
a) Keahlian Biasa
Keahlian dibuka kepada semua pegawai dan kakitangan yang sedang berkhidmat di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan-jabatan yang dibawahnya.

b) Keahlian Bersekutu
Dibuka kepada ahli-ahli yang telah bertukar, berhenti kerja atau bersara dan kepada saudara/kawan seseorang Ahli Biasa dan mestilah mempunyai perwatakan moral yang baik. Ahli Bersekutu akan mendapat segala hak dan keistimewaan sama seperti Ahli Biasa kecuali hak mengundi di Mesyuarat Agung dan memegang jawatan di dalam Jawatankuasa Eksekutif.

c) Keahlian Seumur Hidup
Dibuka kepada ahli-ahli yang telah menjadi Ahli Biasa selama tidak kurang satu (1) tahun. Tempoh ini boleh dikecualikan mengikut budicara Jawatankuasa Eksekutif. Yuran minimum ialah RM
250.00. Ahli Seumur Hidup berhak mengundi dan memegang jawatan.

d) Keahlian Bergabung
Dibuka kepada semua Kelab Jabatan dibawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang diiktirafkan dengan sah. Yuran ialah RM
50.00 setahun. Ahli bergabung boleh melantik wakil untuk menyertai kegiatan tetapi berhak mengundi dan memegang jawatan.

ii. (a) Tiap-tiap calon bagi Keahlian Biasa, Bersekutu, Seumur Hidup dan Bergabung hendaklah mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa Eksekutif untuk kelulusan. Jawatankuasa Eksekutif boleh menolak mana-mana permohonan tanpa memberi sebarang sebab.

(b) Setiap permohonan bagi menjadi Ahli Biasa, Bersekutu, Seumur Hidup dan Bergabung hendaklah mengemukakan borang tertentu.

iii. Setiap pegawai/kakitangan akan diterima menjadi Ahli KESKEP ini sebaik sahaja menjelaskan bayaran masuk (Ahli Biasa dikecualikan) dan yuran bulanan bagi bulan yang pertama.

Peraturan 6 - Bayaran Masuk, Yuran dan Bayaran-bayaran lain
i. Bayaran masuk dan yuran bagi Ahli-ahli Biasa dan Bersekutu ialah :-
(a) Bayaran Masuk - RM 4.00 (bagi Ahli-ahli selain daripada Ahli Biasa)
(b) Yuran (Bulanan)   RM
  Kumpulan Pengurusan & Profesional
 
JUSA
:
6.00
 
Kategori I
:
6.00
 
Kategori II
:
6.00
 
Kategori III
:
6.00
 

Kategori IV

:
2.00
 
Kumpulan Sokongan
 
Kumpulan B
:
2.00
 
Kumpulan C
:
1.00
 
Kumpulan D
:
0.50
  AHLI SEUMUR HIDUP
:
250.00 minimum
  AHLI BERGABUNG
:
50.00 setahun

ii. Yuran Ahli Biasa hendaklah di bayar pada tiap-tiap bulan melalui potongan gaji bulanan ahli yang berkenaan.

iii. Yuran bagi Ahli Bersekutu hendaklah di bayar pada tiap-tiap bulan melalui kaedah yang akan ditentukan oleh Jawatankuasa Eksekutif.

iv. Sebarang ahli (selain daripada Ahli Biasa) yang tidak menjelaskan yurannya bagi lebih dari tiga (3) bulan akan di beri surat kenyataan bertulis (write notification) yang ditandatangani oleh atau bagi pihak Setiausaha Kehormat dan akan dilucutkan daripada menerima keistimewaan-keistimewaan keahlian selagi beliau tidak menjelaskan yurannya.

Peraturan 7 - Keberhentian
Ahli-ahli yang bertukar, berhenti kerja atau bersara jika tidak memohon menjadi Ahli Bersekutu adalah diberhentikan secara automatik menjadi ahli.

Peraturan 8 - Mesyuarat Agung
i. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) dari jumlah keahlian yang berhak mengundi atau dua (2) kali jumlah ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif hendaklah berada di Mesyuarat Agung untuk mencukupkan korum supaya persidangan dianggap sah.

ii. Sekiranya selepas setengah (1/2) jam dari masa yang ditetapkan bagi Mesyuarat Agung korum tidak mencukupi, mesyuarat ini hendaklah ditunda kepada satu tarikh yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif yang tidak melebihi empat belas (14) hari dari tarikh mesyuarat asal yang telah ditetapkan, dan sekiranya masih tidak cukup korum selepas setengah (1/2) jam dari waktu yang ditetapkan bagi mesyuarat yang ditunda itu, maka ahli yang hadir berkuasa untuk menjalankan mesyuarat itu mengikut aturan tetapi tidaklah berkuasa untuk menukar peraturan-peraturan KESKEP.


iii. Mesyurat Agung Tahunan KESKEP hendaklah diadakan dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh akhir kewangan KESKEP. Pemilihan ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi (EXCO) dan Juruaudit Kehormat di dalam Mesyuarat Agung akan diadakan dua (2) tahun sekali.

Masa, tarikh dan tempat akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif. Agenda Mesyuarat Agung Tahunan adalah seperti berikut:-

a. Mengesahkan Minit Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu dan/atau Mesyuarat Agung Luar Biasa yang telah diadakan.
b. Membentang dan mengesahkan Laporan Tahunan KESKEP bagi tempoh yang lepas
c. Membentang dan meluluskan akaun-akaun yang telah diaudit bagi tempoh yang lepas.
d. Memilih dua tahun sekali Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi (EXCO) bagi tempoh yang akan datang, dan dua (2) orang Juruaudit Kehormat.
e. Membentang usul jika ada.

iv. Pengumuman awal mengenai Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihantar oleh Setiausaha Kehormat kepada semua ahli tidak lewat dari empat belas (14) hari sebelum tarikh yang ditetapkan bagi mesyuarat itu. Pengumuman berkenaan hendaklah menerangkan tarikh, masa, tempat dan mengemukakan jemputan untuk memberi cadangan untuk meminda peraturan-peraturan dan pencalonan-pencalonan bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi.

v. Sebarang ahli yang ingin mencadangkan nama calon-calon untuk jawatan-jawatan EXCO hendaklah mengemukakan nama-nama yang ingin dipilih dengan menyatakan jawatannya sekali. Pencalonan yang dicadangkan dan disokong harus menunjukkan kerelaan calon untuk berkhidmat sekiranya di pilih. Sekiranya pencalonan-pencalonan yang diterima oleh Setiausaha Kehormat terdahulu dari mesyuarat itu adalah tidak mencukupi bagi memenuhi jawatan yang dipertandingkan, nama-nama selanjutnya boleh diminta daripada mereka-mereka yang hadir di Mesyuarat Agung itu.

vi. Setiausaha Kehormat hendaklah menghantar kepada semua ahli sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum mesyuarat itu, satu agenda termasuk sesalinan minit dan laporan-laporan aktiviti serta laporan akaun yang telah di audit bagi tahun yang lalu, beserta dengan pencalonan-pencalonan bagi pemilihan pegawai-pegawai dan perkara-perkara untuk dibincangkan (sekiranya ada).

vii. Mesyuarat Agung Luar Biasa KESKEP akan diadakan :-
a. Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi;
ATAU
b. Atas permintaan bersama satu perempat (1/4) daripada jumlah Ahli Biasa seumur hidup secara bertulis dengan menyatakan tujuan-tujuan dan sebab-sebab bagi mengadakan mesyuarat yang sedemikian.

viii. Pengumuman dan agenda Mesyuarat Agung Luar Biasa hendaklah diedarkan kepada semua ahli oleh Setiausaha Kehormat sekurang-kurangnya empat belas (14) hari sebelum tarikh yang ditetapkan bagi mesyuarat itu.

ix. Peraturan perenggan 8(i) dan 8(ii) mengenai korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh juga di pakai untuk Mesyuarat Agung Luar Biasa, tetapi dengan syarat-syarat bahawa sekiranya tiada korum setelah setengah (1/2) jam dari masa yang telah ditangguhkan itu, maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan dan Mesyuarat Agung Luar Biasa tidak akan di minta diadakan bagi tujuan yang sama sehingga selepas sekurang-kurangnya enam (6) bulan dari tarikh ini.

Peraturan 9 - Jawatankuasa Eksekutif

a. Seorang (1) Yang DiPertua
b. Seorang (1) Naib Yang DiPertua

c. Seorang (1) Setiausaha Kehormat
d. Seorang (1) Bendahari Kehormat

Mereka di perenggan 9(i)a - 9(i)d di atas akan dipilih 2 tahun sekali di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif yang lain seperti di bawah akan di lantik dengan persetujuan Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi :-

e. Seorang (1) Penolong Setiausaha
f. Seorang (1) Penolong Bendahari; dan
g. Sepuluh (10) orang Ahli Jawatankuasa Biasa

ii. Semua pegawai/kakitangan yang memegang dan menjalankan tugas-tugas di bawah KESKEP hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia.

iii. Nama-nama untuk Ahli Jawatankuasa di perenggan 9(i)a - 9(i)d hendaklah dicadang dan disokong, dan pemilihan adalah mengikut undi yang terbanyak. Pengundian hendaklah dijalankan secara mengangkat tangan melainkan jika keputusan sebaliknya. Jawatan-jawatan di perenggan 9(i)e - 9(i)g akan di lantik oleh Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi.

iv. Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi akan bermesyuarat sekurang-kurangnya dua (2) bulan sekali dan notis tiga (3) hari akan di beri kepada ahli-ahli untuk mesyuarat itu. Yang DiPertua bertindak secara perseorangan, atau Naib Yang DiPertua dengan persetujuan Yang DiPertua dan tidak kurang daripada dua (2) orang ahli yang bertindak bersama, boleh memanggil mesyuarat pada bila-bila masa, sekurang-kurangnya setengah jumlah ahli hendaklah hadir untuk mencukupi korum.

v. Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi bolehlah menyediakan peraturan-peraturan yang perlu bagi pengawalan sukan, permainan-permainan dan aktiviti-aktiviti lain serta juga bagi perjalanan dan pengurusan KESKEP dengan baik. Semua ahli akan terikat dengan peraturan-peraturan itu yang mana akan berkuatkuasa pada satu tarikh yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif.

vi. Jika timbul perkara mustahak yang memerlukan kelulusan yang yang Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi dan tidak sempat mengadakan mesyuarat, Setiausaha Kehormat bolehlah memperolehi kelulusan demikian dangan cara menghantar surat pekeliling. Syarat-syarat berikut mestilah dipatuhi sebelum satu kelulusan Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi diperolehi:-

a. Masalah yang dibangkitkan mestilah dinyatakan dengan terang di dalam pekeliling itu dan diedarkan kepada semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi.
b. Sekurang-kurangnya setengah daripada Ahli Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi mestilah menyokong atau membangkang cadangan itu; dan
c. Keputusan hendaklah dengan undi terbanyak. Sebarang keputusan itu akan diperolehi secara surat pekeliling itu akan dilaporkan oleh Setiausaha Kehormat di Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi berikutnya untuk dicatitkan di dalam minit mesyuarat itu. Sekiranya undian sama banyak, Pengerusi mempunyai undi pemutus.

vii. a. Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi akan mempunyai kuasa untuk melantik Biro-biro dan Jawatankuasa-jawatankuasa Kecil untuk tujuan-tujuan yang dianggap perlu.

b. Biro-biro dan Jawatankuasa-jawatankuasa Kecil itu akan menjalankan segala kuasa yang telah diberikan kepadanya tetapi akan terus tertakluk kepada pengawalan dan arahan Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi.

viii. Ahli Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi yang mungkir menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa tiga (3) kali berturut-turut tanpa alas an yang memuaskan disifatkan sebagai telah meletak jawatan di dalam Jawatankuasa Eksekutif.

ix. Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi adalah di beri kuasa untuk memenuhi sebarang kekosongan yang disebabkan oleh perletakan jawatan, kematian atau ketidak kemampuan untuk berkhidmat, dan ahli yang dilantik untuk memenuhi kekosongan yang sedemikian akan berkhidmat hanya bagi baki tempoh yang telah ditetapkan bagi bekas ahli yang digantinya itu.

x. Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi akan mentafsirkan Peraturan-peraturan KESKEP dan di mana yang perlu, menetapkan sebarang perkara yang tidak terkandung di dalam Peraturan ini.

Peraturan 10 - Tugas-tugas Ahli Jawatankuasa Eksekutif
i. Di dalam tempoh jawatannya Yang DiPertua hendaklah mempengerusikan semua Mesyuarat agung dan Mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi dan hendaklah bertanggungjawab ke atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Beliau mempunyai undi pemutus. Beliau hendaklah bersama dengan Bendahari Kehormat menandatangani semua cek KESKEP.

ii. Naib Yang DiPertua hendaklah memangku Jawatan Yang DiPertua semasa ketiadaan beliau dan akan menjalankan tugas-tugasnya mengikut 10(i).

iii. Setiausaha Kehormat hendaklah menjalankan urusan KESKEP mengikut peraturan-peraturannya dan hendaklah menjalankan perintah-perintah Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi. Beliau hendaklah bertanggungjawab bagi perjalanan semua persuratan dan penyimpanan buku-buku, dokumen-dokumen dan kertas-kertas kecuali akaun-akaun dan rekod kewangan.Beliau hendaklah menghadiri semua mesyuarat dan merekod perjalanannya.Buku daftar ahli dan inventori harta benda KESKEP hendaklah diselenggarakan oleh Setiausaha Kehormat.

iv. Penolong Setiausaha hendaklah membantu Setiausaha Kehormat di dalam tugas-tugasnya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha Kehormat.

v. Bendahari Kehormat hendaklah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan KESKEP. Beliau hendaklah menyimpan akaun-akaun bagi segala urusan kewangannya dan hendaklah bertanggungjawab bagi kebetulannya. Beliau bersama-sama dengan Yang Dipertua atau Naib Yang Dipertua hendaklah menandatangani semua cek KESKEP.

vi. Penolong Bendahari hendaklah membantu Bendahari Kehormat di dalam tugas-tugasnya kecuali menandatangani cek-cek KESKEP.

vii. Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah menjalankan tugas-tugas seperti yang diarahkan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi (EXCO).

Peraturan 11 - Kewangan
i. Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut di dalam peraturan ini, wang KESKEP bolehlah dibelanjakan bagi sebarang tujuan yang perlu bagi perlaksanaan matlamat-matlamat termasuk perbelanjaan pentadbiran.

ii. Bendahari Kehormat bolehlah memegang dan membelanjakan pendahuluan wang tunai tidak lebih daripada Dua Ratus Ringgit (RM200.00) pada bila-bila masa. Wang yang berlebihan daripada jumlah ini akan dimasukkan ke dalam bank yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif di dalam masa tujuh (7) hari dari penerimaannya. Akaun bank itu hendaklah di bawah nama KESKEP.

iii. Perbelanjaan melebihi Dua Ratus Ringgit (RM200.00) pada satu-satu masa tidak boleh dilakukan tanpa izin daripada Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi. Perbelanjaan yang melebihi Lima Ribu Ringgit (RM5,000.00) pada satu-satu masa tidak boleh dibuat tanpa kelulusan Mesyuarat Agung dan perbelanjaan yang kurang daripada Dua Ratus Ringgit (RM200.00) pada satu-satu masa boleh dibuat dengan kelulusan bersama Yang Dipertua (atau ketiadaannya oleh Naib Yang DiPertua) dan Bendahari Kehormat (atau ketiadaannya oleh Pemangku Bendahari).

iv. Sejumlah wang tidak lebih Lima Ribu Ringgit (RM5,000.00) bolehlah jika difikirkan perlu pada bila-bila masa di simpan di bank dalam bentuk pelaburan (Pelaburan, Simpanan Tetap, Amanah Saham atau seumpamanya).

v. Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang daripada kira-kira KESKEP hendaklah ditandatangani bersama oleh Yang DiPertua (atau ketiadaannya oleh Naib Yang DiPertua) dan Bendahari Kehormat. Jika ketiadaan Bendahari Kehormat maka bolehlah Jawatankuasa Eksekutif melantik sesiapa di antara mereka sebagai Pemangku Bendahari untuk menjalankan tugas-tugas Bendahari Kehormat.

vi. Penyata Pendapatan dan Perbelanjaan beserta dengan Timbangan Kira-kira bagi jangkamasa berkenaan hendaklah disediakan oleh Bendahari Kehormat dengan seberapa segera. Penyata-penyata akaun yang telah di audit itu hendaklah dikemukakan untuk mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Eksekutif.

vii. Tahun Kewangan KESKEP bermula dari 1 Julai sehingga 30 Jun setiap tahun.

Peraturan 12 - Audit
i. Dua orang ahli, yang bukan Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi akan di pilih 2 tahun sekali sebagai Juruaudit Kehormat semasa Mesyuarat Agung Tahunan.

ii. Juruaudit-Juruaudit ini akan dikehendaki mengaudit akaun-akaun KESKEP untuk tempoh yang berkenaan dan membuat laporan untuk Mesyuarat Agung. Mereka juga boleh di minta oleh Yang DiPertua untuk mengaudit akaun-akaun KESKEP untuk sebarang tempoh semasa jawatan mereka dan untuk membuat laporan kepada Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi.

iii. Jawatankuasa Eksekutif adalah diberi kuasa untuk melantik mengisi secara perlantikan bagi memenuhi sebarang kekosongan jawatan Juruaudit yang disebabkan oleh perletakan jawatan, kematian atau ketidak kemampuan untuk berkhidmat bagi baki tempoh yang telah ditetapkan.

Peraturan 13 - Pindaan Peraturan-Peraturan
Semua pindaan kepada Peraturan-peraturan hanya boleh dibuat semasa Mesyuarat Agung Tahunan / Mesyuarat Luar Biasa tertakluk kepada jumlah undi majoriti ahli yang hadir. Semua cadangan pindaan tersebut mestilah di hantar kepada Setiausaha Kehormat tidak lewat dari satu (1) minggu sebelum Mesyuarat Agung. Permohonan untuk pindaan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam tempoh dua puluh lapan (28) hari dari tarikh ia diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan / Mesyuarat Luar Biasa. Pindaan-pindaan atau perubahan-perubahan tersebut akan berkuatkuasa dari tarikh ianya diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

Peraturan 14 - Larangan
i. KESKEP atau ahli-ahli tidak boleh menjalankan sebarang kegiatan yang bertentangan dengan Undang-undang Negara atau Dasar-dasar Perkhidmatan Awam Kerajaan.

ii. KESKEP atau ahli-ahli tidak boleh mengambil peranan di dalam Gerakan Kesatuan Sekerja seperti yang diterangkan dalan Ordinan Kesatuan Sekerja, 1959.

Peraturan 15 - Pembubaran
i. KESKEP boleh dibubarkan dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perempat (3/4) daripada jumlah ahli semasa Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Luar Biasa, yang diadakan untuk tujuan itu.

ii. Sekiranya KESKEP dibubarkan seperti diperuntukan di Peraturan 15(i) maka segala hutang dan tanggungan yang dilakukan secara sah bagi pihaknya, hendaklah dilepaskan secara sah, dan wang berlebihan itu akan diselesaikan mengikut cara yang akan diputuskan semasa Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Luar Biasa yang diadakan untuk tujuan itu.

iii. Pemberitahuan bersabit pembubaran itu hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam tempoh 14 hari.


Pindaan baru yang diluluskan oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan pada 21.9.1997 rujukan PPM/WP 440/77 Jld.2(12)
* * * Rekabentuk & Hakcipta Terpelihara © AZNUL/KESKEP/KPKT 2007 - 2012 : Biro Penerbitan, Publisti & Cenderamata * * *
Lebih menarik dilayar dengan menggunakan pelayar Mozilla Firefox.